fb fb fb fb fb

Didik anak sedari kecil bahaya ideologi keganasan - Pemangku Raja Perlis

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada Program Hijrah Minda MAIPs anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Al-Ikram Kariah Kampung Sena di Guar Sanji hari ini

GUAR SANJI, 19 Mei- Semua pihak perlu memikul tanggungjawab dan sentiasa meningkatkan usaha bagi membendung sebarang ancaman keganasan dalam negara.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kesedaran mengenai bahaya aktiviti keganasan perlu diterapkan kepada anak-anak sejak awal usia agar tidak mudah terpengaruh dengan ideologi yang mengganggu gugat keselamatan awam serta negara.

Titah baginda, generasi pewaris masa depan harus diberi kesedaran untuk terus mengisi kemerdekaan yang diperjuangkan para pahlawan terdahulu dengan menjaga keutuhan, keselamatan dan kedamaian negara.
 
Dalam kehidupan dunia tanpa sempadan ketika ini, kefahaman mengenai 'garis merah' atau batasan yang tidak boleh dilakukan dalam memperjuangkan sesuatu ideologi perlu diberi penekanan.

Selain itu, perlu diberi pengetahuan tentang sentiasa mengutamakan tindakan rasional dan tidak radikal serta tetap utuh mentaati perintah Ulil Amri demi kestabilan negara yang berpanjangan.
 
Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Program Hijrah Minda MAIPs anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Al-Ikram Kariah Kampung Sena, di sini, hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyerahkan sumbangan RM700 daripada MAIPs kepada 20 asnaf dalam kalangan anak kariah Kampung Sena.

Baginda juga berkenaan beramah mesra bersama anak-anak kariah sebaik selesai program berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN
Raja Perlis bedah kaki, Tuanku Syed Faizuddin memangku tugas

SITI AISHAH MD ISA