fb fb fb fb fb

TPM puji keharmonian kaum, toleransi Sarawak

Ahmad Zahid Hamidi (dua kanan) pada majlis sambutan Pra Gawai Sarikei 2024 di Sarikei, Sarawak, hari ini/FB Zahid Hamidi

SARIKEI, 19 Mei- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memuji Sarawak memiliki tahap keharmonian kaum dan toleransi agama yang cukup tinggi.

Jelas beliau, elemen berkenaan amat pening dalam mengekalkan keamanan sesebuah negeri bahkan negara.

"(Misalnya) ada yang cuba memasuki Istana Negara tempoh hari dengan membawa parang... dalam konteks Islam tidak ada keganasan, tiada terrorism.

"Islam mahu semua bangsa, kaum dan budaya hidup secara harmoni," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Pra Gawai Sarikei 2024 di sini hari ini.

Tambahnya, kestabilan politik telah membawa banyak pembangunan dan kemajuan di Sarawak menerusi pimpinan Premier, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Saya berkata demikian bukan kerana membandingkan Sarawak dengan negeri-negeri lain, namun hakikatnya ialah apabila kestabilan politik dapat dicapai atas usaha Tan Sri Abang Johari yang bukan hanya terkenal di Malaysia malah di luar negara,” katanya

Ahmad Zahid turut meminta agar golongan politik mengetepikan sebarang perbezaan dan menjauhi daripada menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R) demi keharmonian serta pembangunan negara.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, sebanyak RM15.01 bilion diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) untuk pembangunan luar bandar Sarawak.

Dana yang sangat signifikan itu adalah untuk memudahkan perancangan dan juga perlaksanaan pelbagai upaya bagi mencipta masyarakat luar bandar yang kompetitif dan meningkatkan kualiti hidup mereka.

"Peruntukan ini melibatkan 287 projek yang terdiri daripada 70 projek baru dan 217 projek sambungan.

"Pada tahun 2024, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW)  telah menerima peruntukan berjumlah RM871.24 juta bagi Sarawak iaitu peningkatan sebanyak RM16.14 juta (1.85%) berbanding tahun 2023 dan merupakan peruntukan kedua yang tertinggi selepas Sabah," katanya.

Mengenai kemudahan telekomunikasi di Sarawak, beliau berkata, kerajaan akan memastikan liputan 5G merangkumi semua kawasan termasuk di pedalaman.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat prihatin dan mahu supaya kawasan pedalaman di Sarawak dan Sabah harus diberikan keadilan untuk mendapat liputan 5G supaya kita dapat berhubung dengan dunia luar.

"Ini penting terutamanya untuk anak sekolah sama ada mereka berada di sekolah rendah ataupun di sekolah menengah mahupun yang berada di peringkat pengajian tinggi, dan ini harus dilakukan dalam waktu yang terdekat," katanya sambil melahirkan keyakinan bahawa Kementerian Digital akan melaksanakannya dengan segera.

Untuk sambutan Hari Gawai tahun ini, beliau mendoakan supaya lebih banyak pembangunan dapat dibawa di Sarawak agar rakyatnya lebih makmur.

SITI AISHAH MD ISA