HULU LANGAT, 19 Mei - Projek naik taraf jalan laluan persimpangan Jalan Dato' Alias ke Batu 9 dari Jalan Persekutuan Hulu Langat menghala Ke Kuala Lumpur dijadual siap sepenuhnya pada pertengahan 2026 nanti.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggit berkata, ia dijangka dapat memberi keselesaan kepada lebih 50,000 kenderaan setiap hari
Menurut beliau, kerja-kerja naik taraf laluan bernilai RM123 juta itu melibatkan laluan sepanjang dua kilometer berserta jejambat itu telah bermula sejak 0g0s 2021.
"Objektif utama projek adalah untuk mengurangkan kesesakan trafik khususnya pada waktu puncak yang berlaku di jalan Persekutuan FT3210 Hulu Langat menghala ke Kuala Lumpur dan juga untuk meningkatkan keselesaan serta keselamatan pengguna jalan raya dan penduduk setempat.
"Ketika ini, proses menaik taraf laluan daripada dua lorong kepada empat lorong sedang disiapkan dan pelaksanaannya berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
"Ini kesemuanya adalah bertujuan untuk kita mempastikan supaya jalan raya itu kita kurang kesesakan sebab kawasan ini saya difahamkan sedang membangun," katanya.
Alexander Nanta Linggi ketika mengadakan lawatan kerja Projek Menaik Taraf Jalan Persekutuan FT 3210 Dari Persimpangan Batu 9 ke Persimpangan Jalan Datuk Alias di Hulu Langat, Selangor hari ini/Foto Alexander Nanta
Alexander berkata demikian ketika ditemui media selepas turun padang meninjau perkembangan projek menaik taraf dan lokasi banjir kilat Jalan Persekutuan di sini, hari ini.
Sesi tinjauan turut disertai Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan, Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd. Aziz serta Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Kementerian Kerja Raya, Datuk Zahrul Hakim Abdullah.