fb fb fb fb fb

Lebuhraya WISE memasuki fasa akhir rundingan

Datuk Seri Saarani Mohamad

IPOH, 19 Mei- Pembinaan Lebuhraya West Ipoh Span Expressway (WISE) di Perak memasuki fasa akhir rundingan sebelum dilaksanakan Jun ini.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, fasa akhir projek itu kini berada di peringkat kerajaan pusat dan syarikat konsesi.

Menurutnya kerja-kerja pembinaan akan dilaksanakan sejurus perbincangan dipersetujui kedua-dua pihak.

"Saya mengikuti rapat dan mereka dimaklumkan fasa akhir untuk menyemak draf-draf perjanjian antara syarikat konsesi dengan Kerajaan Persekutuan.

"Jadi apabila sudah dipersetujui dan saya akan ia akan mula bekerja pada bulan Jun atau Julai," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke 27 Koperasi Masjid Perak Berhad (KOMAS) di sini.

Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) sejauh 60 kilometer akan dijadikan laluan alternatif menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar kepada laluan Terowong Menora di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Dalam pada itu, koperasi di negeri itu juga disaran untuk memanfaatkan sepenuhnya projek serta perniagaan yang diperoleh daripada kerajaan negeri demi kepentingan ahli serta masyarakat.

Saarani berkata, kerajaan negeri bersedia meluluskan permohonan projek daripada koperasi kerana melihat manfaat menyeluruh yang akan diterima ahli-ahli koperasi.

Pada masa sama beliau turut menegaskan supaya mengelakkan daripada mengamalkan budaya 'Ali Baba' yang dilihat boleh memanipulasi peluang dan mengambil jalan mudah untuk mengaut keuntungan.

"Koperasi termasuk lembaga pengarah perlu melihat peluang dan tentukan kekuatan dari segi persiapan dan kepakaran. Jadi kita ada Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV), Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) dan Silver Valley Technology Park (SVTP).

"Semua koperasi boleh melihat ruang ini, cuma pesan saya jangan jadi 'Ali Baba', kerana hasrat kita untuk mendapatkan keuntungan kepada ahli," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke 27 Koperasi Masjid Perak Berhad (KOMAS) di sini.

Saarani juga menggesa KOMAS dan semua koperasi di negeri itu mengambil peluang beberapa projek pembangunan yang telah dirancang untuk menambah pendapatan sedia ada.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI