Piala Malaysia: JDT mara ke separuh akhir

JDT ke separuh akhir Piala Malaysia. Foto/Bernama

MELAKA, 25 Februari – Juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak memperlahankan rentak apabila mara ke separuh akhir Piala Malaysia dengan agregat 8-1.

RINGKASAN BERITA AI
  • JDT menang suku akhir kedua 3-1 ke atas Melaka FC di Stadium Hang Jebat, Krubong.
  • Corbin Ong buka jaringan pada minit ketujuh, Jairo da Silva menambah gol pada minit ke-30 dan ke-54.
  • Melaka FC hampir menjaringkan gol awal babak kedua tetapi usaha mereka terkena palang dan kemudian hanya gol sagu hati lewat permainan.
  • JDT akan bertemu Kuala Lumpur City FC dalam separuh akhir yang dimainkan secara timbal balik bulan depan dan April.

Skuad Harimau Selatan mudah menewaskan Melaka FC 3-1 dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Hang Jebat, Krubong malam Rabu.

Sebelum perlawanan, Harimau Selatan sudah meletakkan sebelah kaki ke pentas separuh akhir susulan kemenangan 5-0 pada aksi pertama di Stadium Sultan Iskandar, 13 Februari lepas.

Beraksi di hadapan kira-kira 2,000 penonton, JDT menunjukkan taring apabila mendahului seawal minit ketujuh menerusi jaringan pemain pertahanan kiri Corbin Ong sebelum penyerang sensasi Jairo da Silva menggandakan kelebihan pada minit ke-30.

Memasuki babak kedua, pasukan tuan rumah cuba mencari gol pertama namun sepakan Donghyun Do dari luar kotak penalti pada minit ke-48 sekadar melepasi palang gol pelawat.

Dua minit kemudian, Melaka FC sekali lagi mencipta peluang menerusi Ahmed Ayman Shamsaldin Abdalazem yang menerima hantaran Donghyun pada minit ke-50, namun percubaannya sekadar menggegar tiang gol.

Jairo terus menambah derita Melaka FC apabila tandukannya menewaskan penjaga gol tuan rumah, Samuel Jacob Somerville pada minit ke-54.

Melaka FC akhirnya memperoleh gol sagu hati pada minit akhir perlawanan menerusi Ahmed Ayman Shamsaldin hasil hantaran Che Rashid Che Halim.

JDT seterusnya akan berdepan Kuala Lumpur City FC dalam aksi separuh akhir yang dijadual berlangsung secara timbal balik pada bulan depan dan April. Bernama