Jepun desak Iran bebaskan wartawan Ketua Biro NHK

Wartawan NHK, Shinnosuke Kawashima

TOKYO, 25 Februari – Ketua biro Tehran bagi penyiar awam Jepun, NHK ditahan pihak berkuasa Iran dan dipindahkan ke Penjara Evin, yang turut dikenali menempatkan tahanan politik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jepun menggesa Iran membebaskan wartawan NHK yang ditahan di Tehran segera.
  • NHK belum mengesahkan identiti wartawan, namun keselamatan kakitangan diutamakan.
  • Penahanan berlaku ketika protes besar di Iran, dengan kematian bertalian dilaporkan oleh pelbagai agensi.

Media berpangkalan di Amerika Syarikat, Radio Free Europe/Radio Liberty menerusi Radio Farda menamakan wartawan itu sebagai Shinnosuke Kawashima.

Bagaimanapun, NHK tidak mengesahkan laporan itu.

Jurucakapnya berkata, keselamatan kakitangan sentiasa menjadi keutamaan dan pihaknya tidak dapat mengulas lanjut ketika ini.

Kerajaan Jepun pula mengesahkan seorang rakyatnya ditahan di Tehran pada 20 Januari lalu.

Jurucakap kerajaan, Masanao Ozaki berkata, Tokyo telah menggesa Iran supaya membebaskan individu terbabit secepat mungkin serta sedang berhubung dengan keluarga dan pihak berkaitan bagi menyalurkan bantuan.

Penahanan itu berlaku ketika Iran berdepan gelombang protes besar susulan tekanan ekonomi dan sekatan antarabangsa berkaitan program nuklearnya.

Agensi Human Rights Activists News Agency mendakwa lebih 7,000 kematian direkodkan setakat ini.

Manakala pihak berkuasa Iran mengakui lebih 3,000 kematian namun menafikan dakwaan pelanggaran hak asasi.

Perkembangan lanjut kes wartawan berkenaan masih belum diumumkan. – AFP