fb fb fb fb fb

Raja Perlis bedah kaki, Tuanku Syed Faizuddin memangku tugas

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada Majlis Santapan Malam di Mes Pegawai Kanan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Perlis, Kangar sempena sambutan Ulang tahun Keputeraan Raja Perlis yang ke-81, malam tadi

KANGAR, 18 Mei- Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyeru agar semua rakyat negerinya memberikan sokongan penuh kepada anakanda baginda, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang menggalas amanah sebagai Pemangku Raja Perlis berkuat kuasa mulai 15 Mei 2024 hingga 14 September 2024.

Tempoh pemangkuan Tuanku Syed Faizuddin Putra selama empat bulan berikutan Tuanku Syed Sirajuddin akan menjalani pembedahan kaki minggu depan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar dan seterusnya melalui proses rehabilitasi.

Tuanku Syed Sirajuddin turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri, kaum kerabat diraja, sahabat handai dan khususnya rakyat negeri Perlis yang dikasihi atas doa serta ucapan sempena sambutan Ulang tahun Keputeraan Raja Perlis itu yang ke-81 semalam.

Baginda bertitah demikian semasa berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam yang diadakan di Mes Pegawai Kanan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Perlis, Jalan Raja Muda di sini malam tadi.

Baginda diiringi oleh Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Turut berangkat Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berserta anakanda-anakanda baginda berdua, Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Hannah Yeoh.

SITI AISHAH MD ISA