fb fb fb fb fb

Atasi segera masalah banjir kilat di Hulu Langat - Alexander Nanta

Alexander Nanta Linggi melihat perkembangan projek Naiktaraf Jalan Persekutuan FT3210 & Pembinaan Jejambat Merentasi Persimpangan Batu 9 Hulu Langat

HULU LANGAT, 19 Mei - Kementerian Kerja Raya (KKR) akan akan terus mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JIPS) bagi menangani isu banjir kilat di Kampung Bukit Raya.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata dua kawasan sering mengalami banjir kilat iaitu seksyen 2.45 (Stor Gas Pusaka) dan Seksyen 5.45 (Petronas Bukit Nanding).

Beliau berkata, sebahagian punca masalah adalah kawasan pembetung dipenuhi air dan keladak ekoran kesan penerokaan tanah yang ditinggalkan oleh pemaju sejak tahun 2014.

Oleh itu, katanya Bahagian Pengurusan Fasiliti (BPF) KKR telah meluluskan peruntukan berjumlah RM50,000 pada Februari lalu.

"Ia untuk kerja-kerja pembersihan pembetung yang dipenuhi air dan keladak serta siap dilaksanakan pada 3 April.

"Jadi untuk penyelesaian jangka pangja, BPF mengarahkan JKR Daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat bagi menyelesaikan isu hakisan tanah dan pembersihan saluran keluar pembetung di lokasi bagi mengelakkan banjir kilat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Projek naik taraf Jalan Persekutuan FT3210 dari Jalan Dato Alias ke persimpangan Batu 9, Hulu Langat.

Katanya, JKR Hulu Langar telah memohon Anggaran Penyenggaraan Jalan (APJ) Tahun 2024 untuk mengatasi banjir kilat di Petronas Bukit Nanding.

Ia melibatkan kerja-kerja naik taraf longkang dengan kos anggaran bernilai RM2 juta.

GRACE AISYAH KEDAYAN