fb fb fb fb fb

Kembalikan semula bantuan uniform pelajar Orang Asli, bantu ringankan beban ibu bapa

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ajis Sitin

BENTONG, 19 Mei - Kerajaan diminta untuk mengembalikan semula bantuan uniform sekolah kepada hampir 40,000 murid anak Orang Asli yang dihentikan beberapa tahun lepas.
 
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ajis Sitin berkata setakat ini hanya murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu diberi bantuan uniform berbanding sebelum ini dimana semua murid mendapat bantuan tersebut.
 
Beliau berkata, terdapat murid Tahun Dua hingga Lima yang majoritinya berada pada paras kemiskinan tegar dan pastinya membebankan ibu bapa pelajar tersebut.

"Saya minta pada kerajaan supaya perkara ini dilihat semula, itu harapan saya. Saya anggarkan sehingga kini terdapat kira-kira 39,000 hingga 40,000 pelajar Orang Asli di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia ( POASM) di Bukit Tinggi, di sini.

Ajis yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli ( JAKOA) berkata, kerajaan sebelum ini telah meluluskan RM10 juta untuk pendidikan anak Orang Asli.

Justeru Beliau berharap peruntukkan tersebut juga dapat digunakan bagi bantuan pembelian uniform sekolah.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN