KUALA LUMPUR, 19 Mei - Seorang Pegawai Tidak Tauliah Kanan (PTTK) dari Malaysian Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) bagi Misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) Sarjan Faridah Abd Rahman disahkan meninggal dunia di Lubnan, semalam.
Perkara tersebut disahkan oleh Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.
Katanya, Allahyarhamah berusia 36 tahun meninggal dunia pada pukul 2.25 pagi waktu Lubnan atau 7.25 pagi waktu Malaysia.
Allahyarhamah bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam MALBATT 850-11 di Kem Marakah, Lubnan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan MALBATT 850-11 apabila rebah setelah turun dari bas di Kem Marakah.
"Allahyarhamah pada ketika itu baru pulang ke Lubnan selepas selesai bercuti di Malaysia.
"Jenazah Allahyarhamah akan dihantar ke Hospital Hammoud, Saida untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian yang akan dijalankan pada 10.30 pagi waktu Lubnan atau 3.30 petang waktu Malaysia hari ini," katanya.
Allahyarhamah mula berkhidmat dalam ATM pada 2007 dan ditugaskan di dalam Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) dan bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam di Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Kedah sebelum diatur gerak menyertai Misi MALBATT 850-11 UNIFIL, menurut kenyataan itu.
Katanya, Allahyarhamah sudah mendirikan rumah tangga serta mempunyai tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki berusia antara empat hingga 10 tahun.
"Markas Angkatan Bersama (MK AB) yang berperanan menyelaraskan semua keperluan operasi dan misi ATM di luar negara termasuk atur gerak Malbatt 850-11 bagi Misi UNIFIL akan menguruskan proses penghantaran pulang jenazah Allahyarhamah ke Malaysia," katanya.