Dewan Rakyat lulus RUU Kualiti Alam Sekeliling

Arthur Joseph Kurup

KUALA LUMPUR, 25 Februari- Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026 yang memberi kuasa perundangan kepada Sabah dan Sarawak dalam pengurusan buangan terjadual.

RINGKASAN BERITA AI
  • Parlimen meluluskan RUU Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026 memberi kuasa perundangan kepada Sabah dan Sarawak urus buangan terjadual.
  • Pindaan selaras prinsip federalisme, tadbir urus baik dan komitmen terhadap Perjanjian Malaysia 1963.
  • Pindaan membolehkan menteri menggantung kuat kuasa akta di bahagian tertentu bagi memperkukuh pengurusan alam sekitar.

RUU tersebut diluluskan dengan majoriti suara bersetuju selepas dibentangkan bagi bacaan kali kedua dan ketiga oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup.

Beliau menjelaskan pindaan itu merupakan langkah strategik bagi memperkukuh kerangka perundangan alam sekitar negara, selaras dengan prinsip federalisme, tadbir urus baik serta komitmen terhadap Perjanjian Malaysia 1963.

“Pindaan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan bagi memastikan sistem pengurusan alam sekitar negara kekal responsif, fleksibel dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran semasa,” katanya.

Di Sarawak, Sistem Pengurusan Sisa Terjadual melalui platform Environmental Information System Sarawak (EnvISS) telah dibangunkan dan mula beroperasi sejak Januari 2025.

Sementara itu, di Sabah, sistem elektronik baharu bagi pemantauan buangan terjadual kini mencapai 90 peratus kesiapsiagaan dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada November 2026.

Pindaan kali kelapan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 itu turut memberi kuasa kepada menteri untuk menggantung kuat kuasa akta berkenaan di bahagian tertentu di Malaysia.

Terdahulu, seramai 21 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian dalam perbahasan sebelum RUU itu diluluskan.

Langkah berkenaan dilihat mampu memperkukuh pengurusan alam sekitar negara khususnya dalam menangani isu buangan terjadual secara lebih cekap dan terselaras.