KUALA LUMPUR, 1 Disember - Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Agensi Persendirian (Pindaan) 2025 yang bertujuan memperbaiki proses pengeluaran dan pembaharuan lesen bagi perniagaan agensi persendirian.
RUU itu diluluskan dengan majoriti suara bersetuju selepas dibahaskan oleh empat senator.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pindaan berkenaan juga bertujuan memperkukuh kawal selia industri keselamatan persendirian, selain memantapkan proses tapisan keselamatan dan meningkatkan ketelusan, tanpa menambah beban tugas kepada Ketua Polis Negara.
"Ini penting bagi memastikan kelancaran pelaksanaan penguatkuasaan akta ini di lapangan dengan membolehkan Menteri Dalam Negeri mengeluarkan arahan pentadbiran dan garis panduan bagi perincikan pelaksanaan peruntukan undang-undang sedia ada, tanpa perlu sentiasa pinda akta melalui proses legislatif yang mengambil masa," katanya ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan.
Beliau berkata, agensi persendirian diwajibkan mengutamakan penggajian pengawal keselamatan tempatan berbanding warga asing, selain lesen tidak boleh dipajak atau disewa kepada pihak lain.
"Syarat-syarat ke atas lesen bertujuan memastikan lesen tidak disalah guna dan pemegang lesen sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa. Contohnya, ahli lembaga pengarah dan petugas mesti lulus tapisan keselamatan serta tidak berstatus bankrap atau muflis," katanya.
Datuk Seri Shamsul Anuar menambah, dari segi penguatkuasaan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Bahagian Penguatkuasaan Kawalan bertanggungjawab memantau pematuhan akta, manakala proses tapisan keselamatan dikendalikan oleh Polis Diraja Malaysia bawah kawalan dan arahan Ketua Polis Negara.