fb fb fb fb fb

Datuk Dr Zulkapli KPPA baharu berkuat kuasa hari ini

(Datuk Dr Zulkapli Mohamed tugas pada hari pertama sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA)
di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pagi ini/FOTO JPA)

PUTRAJAYA, 27 Februari - Datuk Dr Zulkapli Mohamed dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang ke-26 berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan Zulkapli, 58, bagi menggantikan Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah selepas ditamatkan pada 12 Disember 2022 selaras dengan peraturan 49 (3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib).

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan berkata pelantikan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sebelum ini, Zulkapli merupakan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) di Jabatan Perkhidmatan Awam.

"Pelantikan Zulkapli berdasarkan pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan dan perkhidmatan serta pembangunan modal insan.

"Saya yakin dengan pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki beliau mampu menggalas amanah dan tanggungjawab dalam menyokong usaha serta memastikan pembaharuan sektor awam selari dengan aspirasi Malaysia MADANI," katanya.

Berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 31 tahun, Zulkapli menyandang jawatan pertamanya sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Latihan pada 1 Disember 1992.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Solid Waste and Public Cleansing Management Corporation (SWCorp) serta Setiausaha Persekutuan Sabah di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah.

Zulkapli berkelulusan ljazah Sarjana Muda Sains Sosial (Kepujian) dari Universiti Sains Malaysia, Ijazah Sarjana Pembangunan Antarabangsa dari University of Japan dan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Ekonomi (Kewangan Antarabangsa) dari Universiti Meiji, Jepun.

(Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali menyerahkan surat pelantikan
kepada Datuk Dr Zulkapli Mohamed bagi menggantikan Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah/FOTO FB Tan Sri Mohd Zuki Ali)

Media Baharu