fb fb fb fb fb

Datuk Awang Bemee dilantik YDP Dewan Negara baharu

Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara yang baharu berkuat kuasa hari ini

KUALA LUMPUR, 22 Julai - Senator Dato' Awang Bemee Awang Ali Basah dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara ke-21 berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Sarawak itu dibuat selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan nama beliau yang juga calon tunggal sebagai nama ahli untuk dilantik.

"Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mengemukakan cadangan iaitu yang berhormat Dato’ Awang Bemee Bin Awang Ali Basah dipilih sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara. Beliau merupakan anak jati negeri Sarawak... pernah berkhidmat di Mahkamah Tinggi Borneo Sarawak sejak tahun 1984 dan pernah mengendalikan beberapa kes di semua peringkat mahkamah termasuk Mahkamah Persekutuan," kata Anwar ketika mengemukakan cadangan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 hari ini.

Cadangan itu kemudian disokong Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Awang Bemee kemudian mengangkat sumpah jawatan di hadapan Ahli Majlis sebelum menyampaikan ucapan sulungnya di Dewan Negara.

"Alhamdulillah saya dengan rendah diri menjunjung kasih serta merakamkan setinggi penghargaan atas limpah perkenan YDPA Sultan Iibrahim melantik saya sebagai Ahli Dewan Negara melalui penamaan yang telah dipersembahkan oleh YAB Perdan Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata Awang Bemee.

Pelantikan Awang Bemee bagi menggantikan Datuk Mutang Tagal yang meninggal dunia pada 10 Mei lepas.

Awang Bemee juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuching sejak 1998 dan berkhidmat sebagai ADUN, Sarawak selama tiga penggal.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN