fb fb fb fb fb

Dasar tangani jerebu rentas sempadan akan dibentang dalam mesyuarat Jemaah Menteri

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad

PUTRAJAYA, 21 Disember - Dasar menangani jerebu rentas sempadan dijangka akan dibentangkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas (Parlimen) Alam Sekitar, Sains dan Perladangan, awal pertengahan tahun hadapan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata hasil dapatan pada sesi libat urus melibatkan pihak berkepentingan hari ini dan ketetapan daripada mesyuarat tersebut akan dibentangkan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri untuk kelulusan dan pelaksanaan.

"Kita tahu bahawa tahun ini kita lalui tempoh El Nino dan melihat jerebu ini kembali serius. Timbul di kalangan orang ramai mahukan satu penyelesaian malah ia juga dibangkitkan di dalam Parlimen.

"Oleh itu kita juga hendak melihat apa langkah-langkah yang boleh kita ambil dan kita akan kumpul pandangan ini sebelum kita simpulkan dan kita cuba rumuskan," katanya.

Bercakap pada sidang media selepas menghadiri sesi libat urus Menangani Masalah Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan, di sini, Nik Nazmi berkata sesi libat urus itu merupakan sebahagian dari usaha NRES dalam meneliti mekanisma terbaik yang merangkumi pelbagai langkah jangka masa pendek dan panjang dalam menangani masalah jerebu rentas sempadan.

Pada masa sama, katanya meneliti keperluan penggubalan instrumen perundangan bagi memastikan isu tersebut dapat ditangani secara efektif dan holistik.

"NRES terus komited dan sentiasa berusaha mengatasi masalah jerebu merentas sempadan ini daripada terus berulang," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN