IPOH 24 Ogos- Kerajaan akan mengumumkan dasar khas kepada pemaju yang mengamalkan model 'build and sell' di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.
Langkah itu bagi menggalakkan lebih banyak projek disiapkan sepenuhnya sebelum ditawarkan kepada pembeli, sekali gus mengelakkan isu projek terbengkalai.
Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, walaupun model tersebut dianggap paling ideal, namun kerajaan tetap perlu menjaga keseimbangan antara kepentingan pembeli dengan kelangsungan industri.
"Bagaimanapun, KPKT sudah menetapkan sasaran projek terbengkalai sifar menjelang 2030.
"Dasar baru akan saya umumkan selepas Belanjawan 2026, kita sudah merangka beberapa langkah proaktif yang boleh mengawal isu projek perumahan yang terbengkalai," katanya selepas menghadiri Majlis Makan Malam REHDA Fellowship 2025 di sini.
Sehingga kini, sebanyak 172 projek perumahan terbengkalai berjaya diselamatkan, membabitkan 139,000 pembeli rumah dengan nilai pembangunan mencecah RM113 bilion.
Beliau yakin, pengumuman dasar dan inisiatif baharu ini akan memperkukuh keyakinan pembeli serta mengurangkan risiko projek terbengkalai pada masa hadapan.