KUALA LUMPUR, 13 Mac - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan akan terus menyalurkan berita gembira kepada penjawat awam menjelang Aidilfitri, termasuk meneruskan tradisi pemberian bonus raya.
Presidennya, Datuk Dr. Adnan Man, berkata walaupun kerajaan telah menyalurkan bantuan khas bulan lalu, beliau berharap pemberian khas sempena Aidilfitri dapat diteruskan bagi meringankan beban penjawat awam.
“Jika ditanya kepada CUEPACS, sudah tentu kami amat berharap Perdana Menteri dapat mengekalkan tradisi pemberian ini kerana ia sangat dinanti-nantikan oleh penjawat awam,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengarah Jabatan Penyiaran Sarawak, Wan Azahan Wan Hamat, di RTM Sarawak hari ini.
Tambah beliau, permohonan tersebut telah dikemukakan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 6 Mac lalu.
Dalam pada itu, menerusi kenyataan berasingan, CUEPACS turut menegaskan bahawa bantuan khas ini bukan sekadar memberi manfaat kepada penjawat awam, malah merangsang ekonomi tempatan, khususnya dalam kalangan peniaga bazar Ramadan dan sektor peruncitan.
“Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri bukan sahaja dinanti-nantikan oleh penjawat awam, tetapi juga memberi manfaat kepada peniaga-peniaga bazar Ramadan dan peruncit yang turut bergantung kepada lebihan wang daripada bantuan ini untuk meningkatkan hasil jualan mereka.
"Apabila penjawat awam mempunyai lebihan kewangan untuk berbelanja, kesan limpahan ekonomi dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat, termasuk usahawan kecil, peniaga makanan serta sektor perkhidmatan lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah beliau, dalam keadaan kos sara hidup yang masih tinggi, bantuan khas itu sedikit sebanyak akan membantu penjawat awam menguruskan keperluan kewangan mereka dengan lebih baik.
Terutamanya dalam aspek persiapan pulang ke kampung halaman, keperluan asas keluarga dan perbelanjaan pendidikan anak-anak.
"Sambutan Aidilfitri sering kali melibatkan peningkatan perbelanjaan, khususnya bagi mereka yang perlu membuat persiapan pulang ke kampung halaman, menyediakan keperluan asas keluarga, serta memenuhi keperluan pendidikan anak-anak yang semakin meningkat," katanya.
Katanya, sebagai tulang belakang pentadbiran negara, penjawat awam sentiasa komited dalam menjalankan tugas dan amanah yang diberikan.
“CUEPACS amat menghargai perhatian dan pertimbangan kerajaan terhadap permohonan ini demi kesejahteraan penjawat awam yang terus berkhidmat dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab,” katanya.