CHANGLUN, 26 Jun - Musim panas dan kering yang melanda negara khususnya di Kedah akibat Monsun Barat Daya dijangka tidak memberi kesan ketara terhadap aktiviti penanaman nanas di negeri itu. Malah cuaca panas dilihat memberi kelebihan untuk menghasilkan buah yang lebih berkualiti.
Menurut beberapa pengusaha nanas yang ditemui RTM, tanaman nanas amat sesuai dalam keadaan cuaca kering. Bagaimanapun mereka tetap berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya cuaca panas berlarutan dalam tempoh jangka masa yang panjang.
Bagi pengusaha, Ani Saleh, cuaca panas tidak merisaukan kecuali keadaan hujan.
"Cuaca panas tidak merisaukan kami (pengusaha) tetapi hujan amat kami takut. Cuaca panas ni pokok nanas tidak terjejas cuma daun sahaja nampak kuning, buah tiada masalah tetapi perlu tutup menggunakan jaring hitam atau pinggan (polistirena), kalau tidak buah akan rosak," katanya.
Turut berkongsi pandangan sama seorang lagi pengusaha, Hadi Bakhtiar Samsudin.
"Cuaca panas ni alhamdulillah, buah akan lebih manis berbanding musim hujan. Sebenarnya, cuaca panas lebih bagus untuk tanaman nanas, jika hujan pokok dan buah akan cepat rosak," menurut Hadi Bakhtiar.
Sementara itu, Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Kedah/Perlis, Samsuri Ibrahim berkata, Monsun Barat Daya dengan taburan hujan yang rendah tidak memberi kesan kepada pertumbuhan pokok tanaman tersebut. Ini kerana tanaman nanas tidak memerlukan air yg banyak seperti tanaman lain.
Beliau berkata, curahan hujan bagi tanaman nanas optimum setahun adalah 1,250 mililiter (mm) dan julat curahan antara 520 hingga 5,540 mm.
Jelasnya, suhu optimum yang sesuai untuk pertumbuhan pokok nanas ialah 30 darjah Celcius (℃); suhu untuk pertumbuhan akar 29℃, dan suhu pertumbuhan daun 30℃. Bagaimanapun, pihaknya terus memantau aktiviti penanaman nanas sepanjang Monsun Barat Daya bagi mengelak sebarang risiko.
"Kita mesti bantu juga tanaman nanas sebab dia punya suhu terlampau tinggi. Jadi kita sarankan kepada pekebun-pekebun nanas agar membuat siraman baja foliar menggunakan baja semburan. Sebulan boleh buat satu atau dua kali ketika tempoh tiada hujan, ia dapat membantu prose tumbesaran pokok nanas," katanya.
Ketika ini, tanaman nanas di Kedah dan Perlis telah mencapai keluasan sebanyak 696.75 hektar melibatkan kira-kira 200 pengusaha. Sebelum ini, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan Monsun Barat Daya bermula 10 Mei lalu sehingga September ini.