Cuaca panas: Jualan air laris, jadi lubuk rezeki peniaga

Gambar hiasan

KUALA NERANG, 23 Mac – Cuaca panas berterusan sejak minggu ini bukan sahaja meningkatkan permintaan minuman, malah menjadi lubuk rezeki buat peniaga kecil, khususnya sempena musim cuti Aidilfitri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peniaga melaporkan jualan minuman meningkat susulan cuaca panas dan pertambahan pengunjung dari luar kawasan.
  • Cuaca panas beri peluang tambah pendapatan tetapi cabaran mendapatkan bekalan buah ketika keadaan terlalu panas.
  • MetMalaysia mengeluarkan amaran cuaca panas; beberapa kawasan pada tahap berjaga jaga dan Padang Terap catat 37 hingga 40 darjah Celsius.

Peniaga, Ahmad Tajudin berkata jualan minuman meningkat berbanding hari biasa susulan cuaca panas serta pertambahan pengunjung dari luar kawasan.

“Memang cuaca panas minggu ini jual air laris. Tambahan pula musim cuti, ramai orang balik kampung jadi jualan lebih daripada biasa,” katanya kepada RTM.

Seorang lagi peniaga, Mohd Abd Rahman Talib berkata situasi itu memberi peluang kepada peniaga menambah pendapatan walaupun berdepan cabaran mendapatkan bekalan.

“Panas sekarang memang jualan meningkat, tambah pula cuti raya. Cabaran sikit bila nak ambil buah sebab keadaan panas,” katanya.

Sementara itu, Noraida Ahmad berkata cuaca panas turut merancakkan jualan minuman sekali gus meningkatkan pendapatan peniaga.

“Kalau musim panas ni, jual air alhamdulillah boleh. Sambutan memang ada bila cuaca panas,” katanya.

Terdahulu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, status cuaca panas di Padang Terap, Kedah berada pada tahap dua (gelombang haba) dengan suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius.

Sebanyak 14 kawasan di Semenanjung Malaysia berada pada tahap satu (berjaga-jaga) termasuk di seluruh Perlis serta kawasan Baling, Sik, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda dan Bandar Baharu di Kedah.

Amaran sama turut dikeluarkan bagi kawasan Timur Laut (Pulau Pinang), Hulu Perak dan Kuala Kangsar (Perak), Jerantut (Pahang) dan Rembau (Negeri Sembilan).