
PUTRAJAYA, 6 April – Carsome menjadi syarikat pertama menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Putrajaya melaksanakan program kelas bahasa antarabangsa untuk kanak-kanak di Putrajaya melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
- Carsome menaja kelas bahasa melalui CSR dengan peruntukan RM40,000 untuk pelaksanaan kelas sepanjang tahun di Putrajaya.
- Perbadanan Putrajaya menyeru kerjasama strategik dengan sektor swasta untuk berkongsi tanggungjawab dan memperkukuh inisiatif komuniti.
- Program bertujuan memperkasakan kanak-kanak dalam kemahiran bahasa antarabangsa serta mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah dan selamat.
- Empat bahasa ditawarkan: Mandarin, Inggeris, Arab dan Korea; dua kohort tahun ini, lapan sesi setiap kohort, kira-kira 240 peserta.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, penglibatan Carsome dilihat sebagai langkah permulaan yang berpotensi diperluaskan dengan penyertaan lebih banyak syarikat swasta pada masa akan datang.
“Dan kelas bahasa ini akan ditaja melalui konsep CSR oleh Carsome kerana mereka sudah bertapak di Putrajaya dan Carsome telah memperuntukkan RM40,000 bagi tujuan kelas ini sepanjang tahun di Putrajaya.
“RM40,000 ini, kalau anda tanya saya, tak mampukah Perbadanan Putrajaya belanjakan duit ini sendiri? Mampu tetapi PBT, seperti yang saya nyatakan, perlukan kerjasama strategik dengan pihak-pihak swasta, pihak-pihak korporat supaya konsep ownership bersama ini wujud,” katanya pada sidang media selepas Majlis Inisiatif Penguasaan Bahasa Antarabangsa Untuk Generasi Muda Putrajaya dan Bantuan Mobiliti Komuniti Putrajaya, hari ini.
Beliau turut mengalu-alukan lebih banyak syarikat korporat untuk bekerjasama dalam inisiatif pembangunan komuniti, khususnya dalam bidang pendidikan.
Mengulas lanjut, beliau berkata program itu bertujuan memperkasakan kanak-kanak dengan kemahiran bahasa antarabangsa selain mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti berfaedah.
Program tersebut menawarkan empat bahasa iaitu Bahasa Mandarin (Pusat Pembelajaran Kejiranan 8), Bahasa Inggeris (PPK 9), Bahasa Arab (PPK 11) dan Bahasa Korea (PPK16) berdasarkan permintaan komuniti setempat.
Dua kohort akan dilaksanakan tahun ini dengan kohort pertama bermula 11 April hingga 14 Jun dan kohort kedua dari 11 Julai hingga 6 September, melibatkan lapan sesi bagi setiap kohort.
Setiap kelas dihadkan kepada kira-kira 30 pelajar, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 240 peserta bagi tahun ini.
Hannah berkata, kejayaan program itu bergantung kepada sambutan ibu bapa dan berpotensi diperluaskan ke lokasi lain sekiranya mendapat permintaan tinggi.
“Saya nak Wilayah Persekutuan ini ada banyak aktiviti untuk kanak-kanak kecil supaya masa mereka diluangkan dengan aktiviti berfaedah, selamat untuk mereka dan mereka ada kemahiran baru. Itu yang penting,” katanya.