Cadangan tambah kuota penempatan Bumiputera di Pulau Silikon, diteliti

Tapak projek Pulau Silikon di Pulau Pinang / foto BERNAMA

GEORGE TOWN, 13 Mei – Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersedia meneliti cadangan mewujudkan lebih banyak kuota penempatan untuk golongan Bumiputera di kawasan pembangunan Pulau Silikon pada masa hadapan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemungkinan memusatkan kuota 30 peratus hak Bumiputera di lokasi tertentu dalam pembangunan Pulau Silikon secara lebih terancang.
  • Kerajaan negeri akan meneliti pelaksanaan dan keperluan sebelum membuat sebarang keputusan mengenai kuota itu.
  • ADUN mencadangkan pengoptimuman dana Akaun Amanah Perumahan Bumiputera bagi menjamin pemilikan aset di kawasan strategik.

Exco Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Datuk Seri S. Sundarajoo berkata, meskipun setakat ini belum ada perancangan terperinci, kerajaan negeri terbuka untuk mengkaji keperluan memastikan kelestarian pemilikan hartanah Bumiputera di kawasan strategik berkenaan.

Menurut beliau, ia termasuk kemungkinan memusatkan kuota 30 peratus hak Bumiputera di satu lokasi tertentu secara lebih terancang.

“Seperti kebiasaan, 30 peratus hak Bumiputera memang ada dalam semua pembangunan. Jika diperlukan, mungkin kuota 30 peratus itu boleh dipusatkan di satu kawasan tertentu.

“Kami akan melihat terlebih dahulu bagaimana pelaksanaannya. Jika ada keperluan, kami akan teliti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Izhar Shah Arif Shah.

Izhar Shah sebelum itu mencadangkan agar dana Akaun Amanah Perumahan Bumiputera dioptimumkan bagi menjamin hak pemilikan aset perumahan Bumiputera di kawasan strategik seperti Pulau Silikon.