
BANGKOK, 13 Mei – Institusi kehakiman perlu kekal bebas, berintegriti dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak bagi memastikan undang-undang dapat ditegakkan dengan adil.
- Institusi kehakiman perlu bebas dan berintegriti untuk memastikan undang-undang ditegakkan dengan adil dan mengekalkan keyakinan rakyat.
- Masa depan kehakiman bergantung kepada pemeliharaan prinsip dan integriti walau ketika menghadapi situasi sukar.
- Reformasi perlu diteruskan, termasuk pendigitalan mahkamah, pengurangan kes tertunggak dan penggunaan teknologi dengan keputusan akhir dibuat manusia.
Pendirian berkenaan amat penting untuk mengekalkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara.
Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan berkata, masa depan institusi kehakiman bukan hanya bergantung kepada kemajuan sistem, tetapi juga kepada sejauh mana prinsip dan integriti terus dipertahankan.
“Integriti bukan sekadar melakukan perkara yang betul ketika ia mudah, tetapi melakukan perkara yang betul ketika ia sukar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian World Judicial Integrity Forum (WJIF) 2026 di Universiti Rangsit, di sini.
Turut hadir, Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah.
Pada ucapan sama, beliau turut menegaskan reformasi kehakiman perlu diteruskan.
Ia termasuk melalui pendigitalan sistem mahkamah, pengurangan kes tertunggak dan penggunaan teknologi secara beretika dalam pentadbiran keadilan.
Katanya, walaupun teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) mampu membantu meningkatkan kecekapan sistem kehakiman, keputusan akhir tetap perlu dibuat berdasarkan pertimbangan manusia.
WJIF 2026 buat julung kalinya diadakan dengan tema ‘Keadilan, Reformasi dan Ketahanan: Ke Arah Masa Depan Perundangan Global.’
Forum disertai hakim, pakar perundangan dan pembuat dasar dari rantau Asia termasuk Malaysia, Thailand, Brunei, Sri Lanka, Filipina dan China.