IPOH, 7 Disember- Cadangan menjadikan Lumut sebagai 'Defence City' atau Bandar Pertahanan Ketiga masih di peringkat awal untuk mendapatkan keputusan dasar oleh Kementerian Pertahanan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri bersedia memudah cara pelaksanaan inisiatif itu sekiranya ia dilaksanakan.
Ia termasuk memberikan pengurangan kepada premium tanah yang terlibat sebagai galakan kepada pemain industri selain menyediakan pra-perundangan percuma kepada pemain industri dan pelabur yang ingin melabur di Zon Industri Pertahanan.
"Namun begitu perkara ini masih di peringkat untuk mendapatkan keputusan dasar oleh Kementerian Pertahanan, Kerajaan Negeri menyokong pelaksanaan dasar ini dan akan memudah cara pelaksanaannya sekiranya ianya diputuskan untuk dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan kelak,"katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan lisan ADUN Pasir Panjang, Rosli Abd Rahman pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh.