(Datuk Seri Fadillah kepada media selepas Sesi Santai Mesra bersama Pengusaha Tanaman
Koko di Tanjung Sepat, Selangor)
BANTING, 6 Ogos- Cadangan untuk menjadikan kelapa sebagai komoditi negara akan dipertimbangkan.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata cadangan berkenaan akan dibawa ke peringkat atasan untuk dimuktamadkan.
"Ada juga cadangan tadi khususnya dari Sabak Bernam dan Tanjung Karang mereka minta kalau dapat kelapa dimasukkan sebagai komoditi. Jadi, Lembaga Koko akan menjaga koko dan juga kelapa.
"Ini pun kita akan buat cadangan ke peringkat atasan untuk kita bincangkan sama ada boleh dipersetujui atau tidak dan bagaimana kita nak tangani perkara ini," kata Fadillah kepada media selepas Sesi Santai Mesra bersama Pengusaha Tanaman Koko di Tanjung Sepat, Selangor di sini.
Program tersebut antara pengisian Program Trek Komoditi Zon Tengah Semenanjung 2023 anjuran Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Fadillah berpeluang berdialog bersama petani, usahawan dan komuniti koko sekitar negeri Selangor bagi mendengar isu dan permasalahan sektor penanaman koko serta mendapatkan cadangan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan untuk mempertingkat pengeluaran biji koko dan pendapatan petani.
(Tanaman Koko di Tanjung Sepat, Selangor)