KUALA LUMPUR, 1 November - Seramai 16.55 juta rakyat Malaysia layak menerima manfaat harga subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter, melebihi unjuran asal sebanyak 15 juta sejak pelaksanaan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) pada 30 September 2025.
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, sehingga 31 Oktober 2025, seramai 13.1 juta rakyat membuat transaksi BUDI95 dengan membelanjakan sejumlah RM2.66 bilion pada bulan pertama pelaksanaan inisiatif itu.
Ini termasuk lebih 23,000 nelayan dan pengguna bot berdaftar yang tidak memiliki lesen memandu aktif, terutamanya di Sabah dan Sarawak.
''Jumlah transaksi ini melibatkan pembelian sebanyak 1.33 bilion liter RON95 bersubsidi.
''Daripada jumlah tersebut, Kerajaan MADANI telah menyalurkan subsidi sekitar RM800 juta bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat,'' menurut kenyataan itu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, BUDI95 memastikan rakyat menerima subsidi secara langsung tanpa proses yang rumit, serta membolehkan kerajaan menyalur semula penjimatan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat.
''Jelas sekali program ini memberi manfaat berganda kepada rakyat dan negara,” katanya.