fb fb fb fb fb

Bot penumpang bawa lima ekor kerbau hidup tanpa permit ditahan

FOTO Maritim Malaysia Zon Maritim Miri

MIRI, 5 Jun- Sebuah bot penumpang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri pada kedudukan 3.1 batu nautika selatan Tanjung Perapat disyaki membawa muatan lima ekor kerbau hidup tanpa permit pemindahan, semalam.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad menerusi kenyataan media berkata, bot penumpang itu ditahan pada 10.45 pagi oleh bot ronda Maritim Malaysia dalam OP PERMAI 01/2019 dan OP TIRIS 3.0 di perairan Lawas.

Hasil pemeriksaan dan penggeledahan mendapati, bot penumpang berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong serta dua awak-awak yang kesemuanya warga tempatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 9 (1) dan (3) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar (VPHO) 1999 kerana gagal mengemukakan permit pemindahan haiwan ternakan ke Sarawak.

Bot penumpang bersama kesemua kru dan haiwan tersebut kemudiannya diiring ke Jeti Pejabat Daerah Lawas sebelum diserahkan kepada Pegawai Jabatan Veterinar Sarawak untuk tindakan lanjut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE