KUALA LUMPUR, 1 April - Semua penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak akan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 pada Jumaat ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, BKK Aidilfitri disalurkan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteren berpencen serta tidak berpencen.
"Jadi hari ini, bersamaan 21 Ramadan 1445, saya umumkan, kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak.
"Sebanyak RM250 BKK Aidilfitri kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen, insya-Allah saya sudah maklumkan kepada Perbendaharaan supaya BKK Aidilfitri disalurkan mulai Jumaat ini, 5 April 2024," katanya pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi Bulan April pada pagi tadi di Putrajaya.
Berita gembira itu disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh daripada penjawat awam yang hadir pada perhimpunan pagi ini.