fb fb fb fb fb

Bomba Kelantan sasar semua anggota mahir berenang tahun ini

FOTO RTM

KOTA BHARU, 8 September- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menyasarkan semua anggotanya memiliki kemahiran berenang tahun ini sebagai persediaan penting terutama ketika operasi menyelamat banjir.

Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sofyan Borhan berkata, setakat ini jumlah anggota yang tidak mempunyai kemahiran tersebut berjaya dikurangkan kepada 53 orang berbanding 88 sebelum ini hasil beberapa siri latihan dijalankan.

"Kita sasarkan pada tahun ini semua anggota JBPM Kelantan boleh berenang, kecuali mereka yang menghadapi masalah kesihatan atau kekangan fizikal yang tidak membolehkan berbuat demikian," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Kelantan di sini hari ini.

Beliau memaklumkan, buat masa ini latihan dijalankan di tasik dan sungai sementara satu-satunya kolam renang di negeri ini masih dalam kerja-kerja naik taraf.

Dalam majlis sama, sebanyak 11 bot turut diserahkan kepada pasukan Bomba Sukarela dan Bomba Komuniti sebagai persediaan awal menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November depan.

Untuk rekod, sebanyak 109 nyawa terkorban akibat lemas di Kelantan dalam tempoh lima tahun lalu.

Tambahnya, antara kawasan dikenal pasti berisiko berlaku kepala air ialah Jeli dan Kuala Krai, manakala insiden lemas di pantai kerap berlaku di Bachok sehingga memerlukan penubuhan pasukan bomba bantuan melibatkan orang awam.

Orang ramai turut diingatkan agar lebih berwaspada ketika mengunjungi kawasan riadah khususnya aktiviti air sepanjang cuti persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini termasuk kehilangan nyawa.

SITI AISHAH BINTI MD ISA