fb fb fb fb fb

Bina rangkaian, sedia hadapi alam pekerjaan - Fadillah

Datuk Seri Fadillah Yusof

SHAH ALAM, 30 April- Mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) digalak untuk membina rangkaian dalam kalangan pelajar semasa di peringkat pengajian, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Perkara itu dilihat sebagai komponen penting sebelum menghadapi dunia pekerjaan yang semakin mencabar.

"Rapatkan hubungan dalam kalangan pelajar, ini merupakan masa untuk kita saling mengenali antara satu sama lain. Sebenarnya rangkaian ini sangat berguna apabila kita memasuki alam pekerjaan.

"Apabila kita sudah keluar daripada universiti kita akan mula menceburi pelbagai bidang mungkin ada yang akan masuk dalam arena politik, pentadbiran dan perniagaan. Jadi, jaringan ini sangat berguna," katanya dalam majlis Aidilfitri anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini.

Pada masa sama Fadillah menasihatkan pelajar supaya sentiasa fokus terhadap pelajaran dan apa jua tugasan yang digalas semasa berada di universiti.

Fadillah turut menyampaikan sumbangan kepada 20 mahasiswa daripada keluarga kurang berkemampuan dan pelajar kurang upaya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI