Bersiar-siar bersama keluarga di ibu kota bersempena Tahun Baharu Cina

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 17 Februari – Suasana Tahun Baharu Cina disambut meriah dengan orang ramai dilihat meluangkan masa bersama keluarga bersiar-siar di sekitar ibu kota.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suasana Tahun Baharu Cina di Kuala Lumpur disambut meriah dengan orang ramai bersiar-siar bersama keluarga.
  • Pengunjung meluangkan masa melihat hiasan di pusat beli-belah dan menikmati makan-makan bersama keluarga.
  • Ramai memanfaatkan cuti perayaan untuk bersantai di ibu kota sebelum meneruskan perjalanan menziarahi keluarga.
  • Keadaan tahun ini lebih meriah berbanding tahun lalu dengan peningkatan kehadiran pelancong asing.

Tinjauan mendapati rakyat Malaysia dan juga pelancong antarabangsa menghabiskan masa mereka melihat suasana dan hiasan yang ada di ibu kota.

Seorang pekerja swasta, Intan Kamila Abdul Aziz berkata, dia bersama keluarganya meluangkan masa berjalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur dan melihat hiasan-hiasan yang tersedia di pusat beli-belah.

“Saya datang KL ini dengan anak-anak, makan-makan, tengok hiasan Tahun Baharu Cina. Rasanya meriah tahun ini, dengan letupan mercun malam tadi,” katanya kepada RTM, hari ini.

Seorang guru, Azira Aziz berkata cuti perayaan dimanfaatkan untuk bersantai selama beberapa hari di Kuala Lumpur sebelum pulang menziarahi keluarga di Kedah.

“Kali ini kami ambil peluang untuk bersantai dengan keluarga, kemudian kami akan bergerak pulang ke Kedah sebab adik saya tinggal di sini, Sebelum sampai Kedah, kami singgah di Ipoh untuk lawat saudara-mara sebelum Ramadan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pekerja swasta, Sheikh Muhammad Firdaus Sheikh Saidey Nor berkata suasana tahun ini dilihat lebih meriah berbanding tahun lalu dengan kehadiran pelancong asing yang semakin ramai.

“Hari ini saya jalan-jalan tengok suasana Tahun Baharu Cina. Setakat ini memang meriah, nampak ramai orang dari negara lain. Tahun ini lebih meriah, ramai yang datang,” katanya.