KUALA LUMPUR, 17 Mei - Bukan semua berpeluang menjadi individu ‘barisan hadapan’ dan menyaksikan prosiding secara langsung sesuatu kes di mahkamah dan biasanya hanya wartawan meja mahkamah sahaja berpeluang untuk mengikutinya.
Namun, kelebihan mengetahui cerita belakang tabir bukanlah satu lampu hijau untuk wartawan mahkamah berkongsi cerita berkenaan dengan orang lain, 'waima' ahli keluarga sendiri, kerana etika kewartawanan perlu dipatuhi.
Jika tersilap langkah, sesi ‘sekadar bercerita’ itu boleh menimbulkan fitnah dan subjudis serta mengganggu prosiding sesuatu kes di mahkamah yang sedang berjalan, sekiranya orang awam terpengaruh dengan ‘bahan perisa’ berbanding fakta sebenar yang didengar di mahkamah.
Peguam Datuk M Reza Hassan berkata Seksyen 11 Akta Fitnah 1957, memperuntukkan antara lain sebarang laporan berkenaan prosiding di mahkamah adalah dilindungi secara mutlak oleh undang-undang, dengan syarat laporan tersebut adalah suatu laporan yang tepat dan adil.
“Berlandaskan seksyen tersebut, seseorang wartawan itu seharusnya melaporkan berita yang tepat berkenaan prosiding yang berlangsung di mahkamah. Segala fakta haruslah dilaporkan dengan teliti.
“Sekiranya tidak berapa pasti kerana mungkin melibatkan isu teknikal undang-undang, maka wartawan mesti mendapatkan pengesahan dari peguam atau pihak pendakwaan yang mengendalikan kes berkenaan,” katanya yang telah menceburi bidang perundangan selama 30 tahun ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.
Peguam Muhammad Amin Abdullah berkata wartawan perlu melaporkan berita yang tepat dan tidak membuat tajuk berita sensasi dan mengelirukan, hanya untuk mendapat sambutan daripada pembaca.
“Sedangkan, tajuk berita itu tidak menggambarkan secara keseluruhan tentang apa yang berlaku dalam sesebuah kes sepanjang kes tersebut didengar di mahkamah,” katanya dan menambah sikap profesionalisme pengamal media sangat penting dalam memartabatkan industri media di negara ini.
Dalam pada itu, wartawan portal berita V.Anbalagan, 64, berkata sebagai wartawan yang menulis berita mahkamah, mereka seharusnya lebih sensitif dan peka terhadap kes-kes jenayah melibatkan golongan wanita dan kanak-kanak.
“Jika seseorang wartawan itu menulis kes jenayah wanita dan kanak-kanak, kita harus mengambil langkah berhati-hati supaya tidak mendedahkan nama dan identiti tertuduh, kerana mungkin (mereka) dikenali oleh masyarakat atau keluarga, mereka,” katanya yang mempunyai pengalaman 21 tahun sebagai wartawan mahkamah.
Beliau berkata paling utama sebagai wartawan mereka harus menulis berita berlandaskan undang-undang serta sumber sahih.
Wartawan Meja Mahkamah Bernama Jocelyn Ann Dragon berkata seorang wartawan itu perlu memahami dan membiasakan diri dengan prosiding mahkamah bagi membolehkan mereka untuk membuat laporan dengan tepat ketika perbicaraan, ternasuk kenyataan saksi, hujah dan keputusan.
“Mereka juga perlu mengesahkan maklumat sebelum menyiarkan berita. Mereka perlu mematuhi undang-undang dan etika ketika membuat liputan kes mahkamah, termasuk mematuhi had pelaporan,” katanya yang berpengalaman hampir 29 tahun dalam pelaporan berita mahkamah.
Berkongsi pandangan sama, wartawan eksekutif kanan Utusan Malaysia Suwarni Mokhtar, 46, berkata wartawan yang ditugaskan untuk membuat liputan kes mahkamah, perlu melaporkan apa yang berlaku dalam mahkamah tanpa prejudis atau berat sebelah, selain tidak menokok tambah sesuatu berita.
“Wartawan mahkamah juga perlu melakukan penapisan sendiri terutamanya bagi kes jenayah seksual, serta melaporkan perkara sebenar dan bukan untuk populariti,” katanya yang telah berkhidmat di meja mahkamah sejak Jun 2006.
Suwarni berkata wartawan juga perlu menghormati peraturan yang telah ditetapkan oleh mahkamah, selain menghormati kakitangan mahkamah terutama hakim dan majistret.
Berkongsi pengalaman mengenai peraturan di mahkamah, wartawan Berita Harian Mohamad Faris Mohamad Fuad berkata ketika berada dalam mahkamah, media dan orang awam dilarang bersila di atas kerusi, bersilang kaki, memeluk tubuh dan bersandar di dinding mahkamah, ketika prosiding sedang berjalan.
Beliau berkata orang awam dan media dilarang membuat bising atau bergurau dalam mahkamah, selain perlu mematuhi kod etika pakaian apabila berada di premis mahkamah.
“Sebelum masuk ke mahkamah, jika prosiding sedang berjalan kita perlu tunduk kepada hakim atau majistret sebagai tanda hormat. Kita juga perlu mematuhi kod etika pemakaian iaitu memakai selipar, berseluar pendek dan topi juga tidak dibenarkan di dalam mahkamah,” katanya dan menambah wartawan juga dilarang merekod atau mengambil gambar dalam mahkamah semasa prosiding sedang berlangsung, sebaliknya boleh menulis menggunakan buku nota atau komputer riba.
Seorang lagi wartawan portal berita, Ho Kit Yen berkata wartawan tidak dibenarkan memasuki mahkamah bagi membuat liputan kes yang melibatkan tertuduh bawah umur.
“Wartawan boleh mendapatkan maklumat kes tersebut (melibatkan tertuduh bawah umur) daripada timbalan pendakwa raya dan peguam,” katanya.
Selain itu, Ho berkata wartawan yang ditugaskan untuk membuat liputan untuk sesuatu topik, perlu membuat persediaan seperti membaca isu topik tersebut selain bersedia dengan soalan. - BERNAMA