
KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menerima peruntukan RM490 juta menerusi Belanjawan 2027, meningkat lebih 1,000 peratus berbanding RM37 juta pada tahun ini.
- Peruntukan digunakan untuk memperkukuh keupayaan operasi dan meningkatkan pengurusan sempadan negara secara bersepadu.
- KDN terima RM22 bilion dan 48 mesin pengimbas badan serta bagasi dipasang di lapangan terbang utama bagi mempertingkat saringan keselamatan.
- Fokus pada pemantapan skim perkhidmatan, peningkatan kompetensi pegawai dan Malaysia Border Guard serta perluasan kesiapsiagaan di pintu masuk diwartakan.
- Persediaan pengoperasian penuh RTS Link Johor Bahru ke Singapura; peruntukan digunakan berhemah dan telus, menyokong Agenda Reformasi Kerajaan MADANI.
Dalam kenyataan hari ini, AKPS memaklumkan peruntukan itu akan dimanfaatkan bagi memperkukuh keupayaan operasi serta meningkatkan keberkesanan pengurusan sempadan negara secara bersepadu.
“Peruntukan RM22 bilion kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta pemasangan 48 mesin pengimbas badan dan bagasi baharu di lapangan terbang antarabangsa utama akan membantu mempertingkat saringan keselamatan,” katanya.
Bagi 2027, AKPS turut memberi tumpuan kepada pemantapan skim perkhidmatan, peningkatan kompetensi pegawai dan Malaysia Border Guard (MBG), selain memperluas kesiapsiagaan operasi di pintu masuk yang diwartakan.
Agensi itu juga membuat persediaan bagi pengoperasian penuh Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura, sejajar dengan peningkatan pergerakan manusia, barangan dan perdagangan rentas sempadan.
AKPS menegaskan setiap peruntukan akan digunakan secara berhemah dan telus, dengan memberi keutamaan kepada keselamatan pintu masuk negara serta pengurusan sempadan yang berintegriti.
Usaha itu turut menyokong Agenda Reformasi Kerajaan MADANI melalui Inisiatif Reformasi Kementerian Dalam Negeri bagi memastikan transformasi pengurusan sempadan negara dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.