Belanjawan 2026 iktiraf sukan atlet pekak

KUALA LUMPUR, 10 Oktober – peruntukan lebih RM580 juta bagi pembangunan sukan negara yang turut meliputi pemerkasaan sukan orang pekak amat bermakna buat komuniti itu yang hampir empat dekad memperjuangkan kesamarataan dan pengiktirafan dalam arena sukan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan Belanjawan 2026 menunjukkan perhatian kerajaan terhadap pembangunan sukan inklusif bagi komuniti orang pekak.
  • Ong Shin Ruenn anggap pengumuman ini sebagai detik bersejarah dan bukti keprihatinan kerajaan.
  • Pengiktirafan ini hasil hampir 40 tahun perjuangan untuk kesamarataan dan pengiktirafan dalam sukan negara.
  • Terima kasih disalur kepada Perdana Menteri atas sokongan kepada atlet pekak yang mengharumkan nama Malaysia.
  • MSDeaf optimis sokongan berterusan kerajaan dan agensi akan melahirkan lebih atlet pekak bertaraf antarabangsa.

Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Ong Shin Ruenn menyifatkan langkah itu sebagai detik bersejarah dan bukti keprihatinan kerajaan.

“Pengumuman ini merupakan berita yang amat mengembirakan dan bermakna kepada komuniti kami yang telah hampir 40 tahun berjuang untuk mendapatkan kesamarataan dan pengiktirafan dalam arena sukan negara, langkah ini jelas mencerminkan keperihatinan kerajaan usaha membina ekosistem sukan yang inklusif bawah naungan Malaysia Madani,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas perhatian dan sokongan terhadap komuniti atlet pekak yang terus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam pembentangan Belanjawan 2026 menzahirkan ucapan tahniah kepada kontinjen Malaysia yang muncul juara keseluruhan Sukan SEA Pekak 2025 dengan kutipan 25 pingat emas, 16 perak dan 11 gangsa kejayaan yang disifatkan sebagai kebanggaan seluruh negara.

MSDeaf yakin dengan sokongan berterusan daripada kerajaan, Kementerian Belia dan Sukan serta rakan strategik lain, sukan orang pekak akan terus berkembang dan melahirkan lebih ramai atlet cemerlang yang mampu bersaing di peringkat dunia.