fb fb fb fb fb

Belanjawan 2025: Kerajaan peruntuk RM5.3 bilion bantuan pendidikan

Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 18 Oktober – Kerajaan akan menyediakan 17 jenis bantuan pendidikan dengan peruntukan sebanyak RM5.3 bilion tahun hadapan, meliputi pelbagai bentuk sokongan kepada pelajar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan tersebut termasuk bantuan makanan asrama dan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sebanyak RM870 juta, meningkat berbanding RM784 juta tahun ini, yang bakal memberi manfaat kepada lebih 860,000 murid.

RMT juga akan memberi peluang kepada syarikat tempatan di daerah untuk membekalkan sajian makanan.

"Sebanyak RM800 juta disediakan untuk Bantuan Awal Persekolahan (BAP), yang akan diberikan kepada 5.2 juta murid dari tahun 1 hingga tingkatan 5, tanpa mengira pendapatan ibu bapa," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI di Parlimen, hari ini.

Selain itu, Anwar berkata Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin ditingkatkan kepada RM180 juta berbanding RM150 juta pada tahun ini.

Kerajaan turut membenarkan bayaran gaji atau upah kepada tenaga pengajar oleh institusi pendidikan diiktiraf sebagai perbelanjaan kebajikan di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Dalam pada itu, Kadar Geran Per Kapita (PCG) bagi Pendidikan TVET turut dinaikkan sebanyak 15 peratus, menjadikan peruntukan keseluruhan PCG lebih RM900 juta.

Peruntukan khas RM10 juta turut disediakan sebagai Bantuan Persekolahan kepada 687 sekolah pedalaman.

Kerajaan juga meningkatkan Elaun Sara Hidup bagi siswa guru Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Institut Pendidikan Guru (IPG) kepada RM530 sebulan, berbanding RM430 sebelum ini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN