fb fb fb fb fb

Belanjawan 2024 komitmen kerajaan kurangkan kos sara hidup - Anwar

KUALA LUMPUR, 14 Oktober - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Belanjawan 2024 Malaysia MADANI adalah manifestasi komitmen berterusan kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup selain meningkatkan peluang pekerjaan.

Belanjawan yang bertemakan "Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat," itu juga bukti usaha Kerajaan Perpaduan menyokong iklim pelaburan yang kondusif dalam suasana global yang kian berubah.

"Belanjawan Kerajaan Persekutuan 2024 memberi penekanan terhadap pertumbuhan ekonomi yang mampan dan pro-rakyat, seiring hala tuju ekonomi baharu," katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Kelmarin, Anwar membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat dengan peruntukan berjumlah RM393.8 bilion.


(Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 MADANI di Dewan Rakyat semalam/FOTO PMO)

Ia menjadikannya belanjawan tertinggi yang pernah dibentangkan yang mana RM303.8 bilion adalah untuk belanja mengurus dan RM90 bilion untuk belanja pembangunan, selain RM2 bilion untuk belanja luar jangka.

"Alhamdulillah, dengan izinNya saya telah membentangkan Belanjawan MADANI 2024 sebagai tawaran dan pengarahan baharu ke arah pemerataan ekonomi dan memperkasa rakyat," tambahnya.

Dalam hantaran sama Anwar turut berkongsi beberapa infografik ringkasan initipati Belanjawan 2024.

ARTIKEL BERKAITAN:
Belanjawan MADANI Kedua peruntuk RM393.8 bilion - PM
Kadar inflasi Malaysia 2 peratus antara terendah di Asia Tenggara

Media Baharu