Negeri Sembilan sasar 25 juta pelancong sempena TMM 2026

PORT DICKSON, 1 Januari – Lebih 200 produk pelancongan ditawarkan di Negeri Sembilan bersempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) dan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai destinasi pelancongan utama negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sasarkan 60% pelancongan pantai, 30% eko-pelancongan dan 10% pelancongan warisan sepanjang TMM 2026.
  • Lebih 200 produk pelancongan ditawarkan untuk mengukuhkan Negeri Sembilan sebagai destinasi utama.
  • Tumpuan kepada pelancong dari Singapura, Indonesia dan Thailand serta promosi ke Cambodia.
  • Meningkatkan segmen pelancongan kesihatan dengan kira-kira enam pusat perubatan bersedia menyokong.
  • Sasaran negeri menerima 25 juta pelancong domestik dan antarabangsa sepanjang tahun ini.

Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon, berkata pihaknya menyasarkan 60 peratus pelancongan pantai, 30 peratus eko-pelancongan dan 10 peratus pelancongan warisan sepanjang tempoh berkenaan.

Menurut beliau, negeri itu turut memberi tumpuan kepada kemasukan pelancong dari negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand, termasuk dalam segmen pelancongan kesihatan.

“Kita kini mempunyai kira-kira enam pusat perubatan yang bersedia menyahut cabaran ini. Selain itu, lebih banyak program perniagaan ke perniagaan (B2B) akan diadakan bagi mempromosikan produk pelancongan Negeri Sembilan ke pasaran luar termasuk Cambodia serta negara jiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyambut ketibaan pelancong di Jeti Penumpang Port Dickson, hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, mengumumkan sasaran kerajaan negeri untuk menerima 25 juta pelancong, merangkumi pelancong domestik dan antarabangsa, sepanjang tahun ini.