GEORGE TOWN, 1 Januari – Seramai 18 pasangan termasuk warga tempatan dan asing, ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dalam Ops Ambang 2026 yang dijalankan awal pagi tadi di empat daerah di negeri ini.
Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAIPP, Muhamad Helmi Rosley, berkata operasi tersebut melibatkan daerah Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Utara, Timur Laut dan Barat Daya.
Menurut beliau, alasan seperti “hanya menumpang seketika” dan “meraikan sambutan tahun baharu” sering diberikan oleh sebahagian suspek yang ditahan.
“Kesemua 17 wanita dan 16 lelaki berkenaan disyaki melakukan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang syariah yang berkuat kuasa di Pulau Pinang,” katanya.
Operasi yang disertai 23 anggota penguat kuasa itu dijalankan susulan aduan awam serta pemeriksaan rutin bagi membanteras kegiatan tidak bermoral.
Kesemua individu yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan JHEAIPP untuk tindakan lanjut.
JHEAIPP turut menegaskan bahawa operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang syariah dan menjaga ketenteraman masyarakat.
