fb fb fb fb fb

MOTAC sedia geran perhebat penganjuran program TMM2026

Timbalan Menteri MOTAC, Chiew Choon Man (tengah) ditemui pada program sambutan khas di balai ketibaan di Lapangan Terbang Sibu pagi tadi sempena TMM 2026/Foto Alhadi

SIBU, 1 Januari – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyediakan geran bagi merancakkan penganjuran program sepanjang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Antara geran ditawarkan meliputi bidang kebudayaan, aktiviti berkaitan pelancongan serta kraftangan bagi menggalakkan lebih banyak penganjuran program.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, MOTAC sentiasa membantu dan mendorong penglibatan masyarakat untuk menganjurkan pelbagai program sebagai tarikan kepada pelancong.

"TMM2026 bakal menampilkan lebih 300 program dan acara sepanjang tahun merangkumi elemen seni dan budaya, warisan serta kepelbagaian kaum melalui sambutan dan tradisi perayaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program sambutan khas di balai ketibaan Lapangan Terbang Sibu pagi tadi sempena bermulanya TMM2026.

Program berkenaan dilaksanakan di 55 pintu masuk utama negara termasuk lapangan terbang di Sarawak, selain pintu masuk darat utama seperti Sungai Tujuh, Tebedu, Biawak dan Pandaluran.

“Menerusi kempen ini, Malaysia menyasarkan 43 juta pelawat antarabangsa pada 2026, selari usaha memperkukuh sektor pelancongan sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN