PUTRAJAYA, 17 Mac - Sistem pemilihan penempatan pegawai perubatan, ePlacement sedia ada yang menggunakan kaedah ‘siapa cepat dia dapat’ akan digantikan dengan sistem yang lebih telus, adil, berasaskan merit dan memenuhi penawaran dan permintaan.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata sehubungan itu, tarikh permohonan baharu sistem ePlacement yang dijadualkan pada 25, 26 dan 27 Mac ini dibatalkan dan ditangguhkan ke suatu tarikh baharu yang akan diumumkan kelak.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka membuka semula permohonan dalam masa enam ke lapan minggu dari hari ini selepas sistem baharu dimuktamadkan dan diuji kemampanannya sebelum dilaksanakan.
"Selaras dengan itu, kami telah membincangkan, bukan setakat untuk kohort yang ada sekarang ini, tapi juga kita akan mengambil kira kumpulan seterusnya, yang sepatutnya pada Mei (lapor diri) itu juga kita akan anjakkan supaya ia lebih adil," katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.
Beliau berkata walaupun ketelusan dan keadilan ditambah baik, kepentingan perkhidmatan mendapat keutamaan tertinggi kerana objektif sebenar ePlacement ialah penempatan bagi mengisi kekosongan yang perlu dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.
"KKM akan mengadakan sesi libat urus bersama pegawai perubatan yang terlibat bagi menerangkan dengan lebih terperinci berkenaan isu sistem ePlacement ini. Paling penting, kita akan memastikan perkhidmatan tidak terjejas, jadi buat masa sekarang ini, mereka akan bertugas di lokasi mereka berada," katanya.
Dr Muhammad Radzi berkata melalui sistem ePlacement 2.0 itu, KKM akan turut mengambil kira isu kebajikan pemohon sebelum meluluskan sesuatu permohonan.
"Saya ingin menekankan penempatan ini berdasarkan kepada kekosongan, jawatan yang sedia ada dan kekosongan yang banyak sekali berada di Sabah dan Sarawak, lebih daripada 50 peratus kekosongan itu di sana. Jadi kita kena tengok macam mana kita dapat pastikan bahawa penempatan juga dapat dilakukan tanpa kuota di sana tidak dipenuhkan," katanya.
Beliau berkata KKM akan terus memaklumkan sebarang perkembangan baharu mengenai sistem ePlacement 2.0 termasuklah garis panduan dan bilangan data kekosongan dari semasa ke semasa.
"KKM menyeru semua pegawai perubatan untuk menggunakan sistem ini secara beretika dan bertanggungjawab bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap sistem yang boleh menjejaskan ketelusan proses pemilihan," katanya.
Menguluas insiden 27 Februari lepas yang menyebabkan KKM membatalkan pemilihan penempatan 2,245 Pegawai Perubatan, Dr Muhammad Radzi berkata ia ekoran gangguan teknikal yang serius berpunca daripada akses luar biasa terhadap sistem ePlacement.
Beliau berkata laporan penuh capaian pada hari kejadian menunjukkan terdapat lebih 19 juta ‘hit’ dan telah mengakibatkan pangkalan data sistem tidak dapat dicapai.
"Ini merupakan antara faktor besar yang menyumbang kepada penangguhan pemilihan penempatan ini. Berdasarkan log rangkaian trafik pada 27 Februari lepas, KKM mendapati ramai pengguna telah mengakses pelayan ini melalui pelbagai peranti termasuk penggunaan kaedah yang tidak sepatutnya," katanya.
Akibat daripada masalah gangguan teknikal berkenaan, beliau berkata statistik permohonan juga menunjukkan lebihan penempatan yang diluluskan berbanding kuota asal.
Beliau berkata 50 peratus kekosongan sedia ada adalah di Sabah dan Sarawak, namun berdasarkan penerimaan permohonan pada 27 Februari lepas menunjukkan kurang daripada satu peratus kekosongan di Sabah dan Sarawak dipenuhi.
"Ia mengakibatkan data yang telah diperoleh langsung tidak boleh digunakan," katanya.
Bagaimanapun, Dr. Muhammad Radzi menegaskan gangguan teknikal berkenaan tiada kaitan dengan insiden keselamatan siber kerana Jabatan Digital Negara dan juga Agensi Keselamatan Cyber Negara (NACSA) telah dilibatkan dan dan perkara ini juga dilaporkan kepada CyberSecurity Malaysia.