KUALA LUMPUR, 17 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengarahkan pengurusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk membentangkan cadangan penambahbaikan bagi meningkatkan kadar pembayaran balik pinjaman tanpa membebankan peminjam.
Beliau berkata, perkara itu akan dibentangkan selepas Aidilfitri, selaras dengan usaha memastikan kelestarian dana PTPTN agar generasi akan datang terus mendapat manfaatnya.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar memaklumkan bahawa beliau telah meneliti isu kadar bayaran balik PTPTN yang masih rendah dan melihat keperluan mencari pendekatan lebih berkesan.
Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat bersama kepimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi meneliti perkembangan sektor pendidikan tinggi negara.
"Antara isu utama yang dibincangkan adalah persiapan generasi masa depan dalam menerokai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), dengan tumpuan kepada industri semikonduktor yang semakin berkembang pesat," katanya.
Selain itu, Anwar turut menghadiri Program Ihya’ Ramadan anjuran KPT serta mengadakan pertemuan bersama pengurusan tertinggi dan warga kementerian berkenaan.
Beliau juga berkesempatan mendengar tazkirah Ramadan bertajuk ‘Maqasid al-Quran dan Masyarakat MADANI’ yang disampaikan oleh Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, sebelum menunaikan solat Zohor berjemaah.