fb fb fb fb fb

Dashboard status terkini MA63 boleh diakses hujung Januari ini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud

KUALA LUMPUR, 1 Januari -Dashboard Status Terkini Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dijangka boleh diakses oleh orang ramai melalui Portal Rasmi Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) menjelang penghujung Januari ini, sebagai langkah meningkatkan ketelusan pelaksanaan perjanjian berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata Kerajaan MADANI kekal komited memperkukuh kedudukan Sabah dan Sarawak selaras dengan semangat MA63 demi kesejahteraan rakyat serta kestabilan Persekutuan Malaysia.

Beliau berkata komitmen itu diterajui secara langsung oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi penubuhan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), yang dipengerusikan Perdana Menteri sendiri.

“Sehingga kini, sebanyak 29 perkara berkaitan MA63 telah dibincangkan dan 13 daripadanya berjaya diselesaikan, termasuk penyerahan kuasa kawal selia elektrik dan gas kepada Sabah, penukaran status Pelabuhan Bintulu kepada pelabuhan negeri serta pindaan undang-undang yang melibatkan kepentingan Sabah dan Sarawak.

“Baki 16 perkara lagi masih dalam proses rundingan secara berterusan melalui MTPMA63 dengan pemantauan rapi oleh BHESS, Jabatan Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Datuk Mustapha berkata pelaksanaan Dashboard Status Terkini MA63 itu akan membolehkan rakyat mengikuti perkembangan pelaksanaan perjanjian berkenaan secara lebih terbuka dan berstruktur.

Beliau menegaskan Kerajaan MADANI akan terus melaksanakan MA63 secara berhemah, inklusif dan berteraskan semangat Persekutuan bagi memastikan Sabah dan Sarawak terus diperkasa dalam pembinaan negara.

TETITIA YUSOFF