(Datuk Seri Azlan Man/FOTO FAIL BERNAMA)
KANGAR, 10 April- Bekas Menteri Besar Perlis didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar atas lima pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.185 juta.
Tertuduh, Datuk Seri Azlan Man bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.
Mengikut kesemua pertuduhan, Azlan sebagai Menteri Besar Perlis didakwa menggunakan beberapa dokumen mengandungi butiran palsu bagi membuat tuntutan kemudahan Cuti Seberang Laut ke London, United Kingdom sedangkan tidak ada perjalanan seperti yang dituntut tersebut.
Dokumen itu antaranya invois dan sebut harga tiket penerbangan pergi balik dan hotel penginapan yang dikeluarkan Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd, selain Pesanan Kerajaan Negeri Perlis (borang AM 75E) yang didakwa digunakan bagi membuat tuntutan kos tiket penerbangan, hotel penginapan dan pengangkutan.
Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Persiaran Wawasan di sini, antara Disember 2013 hingga Disember 2017.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Sabit kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali tuntutan palsu atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
(Kompleks Mahkamah Kangar/FOTO perlis.kehakiman.gov.my)
Mahkamah memerintahkan jaminan RM50,000 dikenakan bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.
Azlan diwakili peguam Burhanudeen Abdul Wahid manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib.
Terdahulu, Ahmad Akram turut memohon kepada mahkamah agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi memudahkan prosiding berkenaan memandangkan tertuduh bakal didakwa atas satu lagi pertuduhan membabitkan kesalahan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2011.
Mahkamah kemudian menetapkan 12 Mei ini sebagai tarikh sebutan kes.
Berita berkaitan
Bekas MB Perlis Azlan Man dijangka didakwa hari ini