
KUALA LUMPUR, 13 Julai – Kerajaan memberi jaminan bekalan petroleum negara kekal stabil dan mencukupi bagi memenuhi keperluan domestik sehingga Disember ini menerusi tiga pendekatan yang sedang dilaksanakan.
- Tiga pendekatan: mempelbagaikan sumber import, mengoptimumkan pengeluaran domestik, memperkukuh perjanjian bekalan jangka panjang.
- Kerajaan kekal berwaspada terhadap kekangan pasaran global dan penyusutan inventori minyak.
- Permintaan puncak elektrik di Semenanjung meningkat namun masih dalam margin rizab, tidak menjejaskan kestabilan bekalan tenaga.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pendekatan berkenaan meliputi usaha mempelbagaikan sumber import, mengoptimumkan pengeluaran bahan api domestik serta memperkukuh perjanjian bekalan jangka panjang.
“Kerajaan akan kekal berwaspada terhadap perkembangan semasa memandangkan pasaran global masih berdepan kekangan bekalan fizikal serta penyusutan inventori minyak yang berterusan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan, permintaan puncak elektrik di Semenanjung bagi tempoh 6 hingga 11 Julai meningkat 2.5 peratus kepada 20,832 megawatt berbanding 20,325 megawatt pada minggu sebelumnya.
Katanya, peningkatan itu masih terkawal dan berada dalam margin rizab bekalan elektrik negara, sekali gus tidak menimbulkan sebarang risiko terhadap kestabilan bekalan tenaga ketika ini.