fb fb fb fb fb

Bantuan bencana RM12 juta, MAIWP diminta agih secepat mungkin

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar

KUALA LUMPUR, 2 Disember - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar mahukan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menggerakkan segera bantuan bagi penduduk terjejas banjir di negeri-negeri terlibat.

Katanya, memandangkan keadaan banjir yang mendesak, peruntukan bantuan berjumlah RM12 juta daripada MAIWP itu harus diselaras dengan baik agar ia betul-betul sampai kepada penduduk yang memerlukan. 

Semalam, beliau mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak tujuh juta ringgit daripada MAIWP bagi membantu penduduk terjejas banjir di seluruh negara. 

Pemberian itu adalah tambahan kepada peruntukan RM5 juta yang telah diumumkannya pada Sabtu lepas.

"Fokusnya ialah pada negeri-negeri yang terlibat khususnya kalau kita lihat ketika ini Pantai Timur di Kelantan, Terengganu dan Kedah tetapi sekarang ini kita lihat Johor pun dah mula banjir, begitu juga Pahang.

"Jadi yang lengkapnya saya serahkan kepada jawatankuasa penyelarasan yang diketuai Timbalan Ketua Pengarah JAKIM (operasi) Datuk Mohd Ajib Ismail, jadi dia akan berurusan dengan agensi-agensi dengan kerjasama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan badan bukan kerajaan (NGO) dan kita akan salurkan dengan segera Insha-Allah," kata Dr. Na’im.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Bijak Bestari Kampong Bharu, di sini.

Dalam program itu hampir RM160,000 disumbangkan Lembaga Tabung Haji bagi meningkatkan prestasi akademik 100 pelajar sekolah rendah dan menengah dalam kalangan asnaf dan keluarga yang kurang berkemampuan.

Ia bagi menangani masalah keciciran pelajaran selain sebagai menyokong usaha kerajaan melalui inisiatif Kampung Angkat MADANI (KAM).

TETITIA YUSOFF