fb fb fb fb fb

Banjir: Terengganu dan Kelantan catat peningkatan

FOTO FAIL

KUALA TERENGGANU, 10 Disember - Setakat pukul 7.00 malam tadi jumlah penduduk terjejas banjir yang dipindahkan di dua daerah terus menunjukkan peningkatan. 

Portal InfoBencana Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan ketika ini seramai 5,204 telah dipindahkan ke 28 pusat pemindahan sementara (PPS), melibatkan 1,273 keluarga. 

"Daerah Kemaman merekodkan paling tinggi setakat ini iaitu 4,869 orang yang berada di 20 PPS. 

"Manakala Dungun pula 335 penduduk terjejas banjir berlindung di lapan PPS," menurut InfoBencana Banjir JKM.

Ketika ini hujan masih lagi direkodkan di hampir kesemua kawasan di daerah berkenaan.

Dalam pada itu di Kelantan, jumlah penduduk terjejas banjir di jajahan Gua Musang, menunjukkan sedikit peningkatan.
 
Hingga pukul 7.00 malam tadi , seramai 288 penduduk terjejas banjir direkodkan berbanding 180 orang pada pukul 4.00 petang tadi.
 
Menurut InfoBencana Banjir JKM, kesemua mereka terdiri daripada 71 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) yang diaktifkan di jajahan tersebut.
 
"Ia membabitkan, 219 penduduk di PPS Dewan Semai Bakti Felda Chiku 7, 38 penduduk direkodkan di PPS Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi 1 dan 31 penduduk terjejas berlindung di PPS Dewan Orang Ramai Batu 6," kata InfoBencana Banjir JKM.
 
Sementara itu, portal public info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula melaporkan, dua sungai utama di negeri itu berada melepasi tahap bahaya iaitu Sungai Nenggiri di Bertam, Gua Musang dan Sungai Sokor di Kampung Sokor Tanah Merah.

TETITIA YUSOFF