fb fb fb fb fb

Banjir Perak: Jumlah penduduk terjejas meningkat kepada 590 orang

Jumlah penduduk terjejas banjir di Perak terus meningkat kepada 590 orang daripada 177 keluarga setakat pukul 8 pagi tadi / Foto Hiasan / Bernama

IPOH, 2 Disember – Jumlah penduduk terjejas banjir di Perak terus meningkat kepada 590 orang daripada 177 keluarga setakat pukul 8 pagi tadi, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Sebanyak sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di empat daerah.

Daerah Kinta mencatatkan jumlah penduduk terjejas tertinggi, dengan PPS Dewan Bandaran Kinta menempatkan 188 orang daripada 49 keluarga.

Kesemua mereka adalah penduduk dari Kampung Seri Kulim, Kampung Batu Satu, Kampung Rangkaian, Kampung Air Mati, dan Kampung Bakap.

PPS kedua terbesar di daerah sama ialah Dewan SK Twa, yang menempatkan 175 orang daripada 53 keluarga.

Daerah Kampar mencatatkan 61 orang daripada 23 keluarga yang berlindung di PPS SK Kota Baharu manakala di daerah Larut Matang dan Selama, seramai 47 orang daripada 12 keluarga ditempatkan di PPS SK Matang Gelugor.

Sementara itu, di Hilir Perak, PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak menempatkan 52 orang daripada 17 keluarga.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN