JERANTUT, 24 Disember- Sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kota Gelanggi 1, Jerantut yang menempatkan 75 penduduk terjejas banjir, setakat pukul 12.00 tengah hari tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang berkata PPS tersebut dibuka pada pukul 9.00 pagi tadi; menempatkan 19 keluarga yang terjejas banjir.
"Hujan lebat berterusan sejak semalam telah menyebabkan Sungai Siam melimpah sehingga menyebabkan beberapa kediaman penduduk di Kota Gelanggi 1 dinaiki air.
"Bagaimanapun, paras air sungai menunjukkan trend menurun dan mulai surut.
"Keadaan itu akan dipantau dari semasa ke semasa kerana hujan lebat dikhuatiri menyebabkan paras air sungai meningkat semula," kata Sekretariat JPBN Pahang menerusi kenyataan.