fb fb fb fb fb

Banjir Kedah: 2,505 penduduk terjejas berada di 21 PPS

Foto APM Baling

ALOR SETAR, 9 Oktober - Jumlah penduduk terjejas banjir yang dipindahkan ke 21 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima daerah di Kedah meningkat kepada 2,505 orang melibatkan 907 keluarga setakat pukul 8.00 pagi ini.

Ia meningkat berbanding 1,419 orang malam tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (Pertahanan Awam) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, Kubang Pasu mencatatkan jumlah penduduk paling ramai iaitu 813 orang.

"Kesemua mereka ditempatkan di enam PPS iaitu SMK Changlun (125 orang); Dewan PPK Lubuk Batu (141 orang); Sekolah Kebangsaan (SK) Malau (143); SMK Indera Putra (86); SMK Mahawangsa (165); dan SK Ahmad Tajuddin (153)," kata Suhaimi dalam kenyataan.

Sementara itu di Daerah Kota Setar, seramai 716 penduduk terjejas banjir ditempatkan di lima PPS iaitu SMK Alor Merah (159); SK Taman Aman (190); SK Titi Gajah (203); SK Haji Idris (88); dan SMK Kepala Batas (76).

"Di Pokok Sena, 368 penduduk ditempatkan di tiga PPS iaitu Dewan Serbaguna Pokok Sena (173); SK Tualang (63); dan SK Bukit Hijau (132). Di Baling pula, 327 penduduk ditempatkan di lima PPS iaitu Kompleks Rakan Muda (202); Maktab Mahmud Baling (71); Dewan Tun Razak (27); SK Siong (19); dan SMK Parit Panjang (8)," katanya

Di Pendang, 281 penduduk ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah (240); dan SMK Pendang (41).

TETITIA YUSOFF