fb fb fb fb fb

Banjir di Terengganu, surut sepenuhnya

Foto Fail

KUALA TERENGGANU, 31 Disember- Banjir yang melanda Terengganu sejak Ahad lalu pulih sepenuhnya.

Pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Besut ditutup pada pukul 10.00 pagi tadi.

Menurut Portal Info Bencana JKM, ia berikutan keadaan cuaca yang semakin baik sejak awal pagi semalam.

Gelombang banjir kali ini telah menjejaskan tiga daerah iaitu Hulu Terengganu, Kemaman dan Besut.

Bagaimanapun, masih ada kemungkinan berlaku hujan berterusan kerana negara masih dalam fasa Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlarutan hingga Mac depan.

Sementara itu, penduduk terjejas banjir di Johor yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sedikit meningkat pagi ini, di Kelantan pula situasi bencana itu bertambah baik.

Di JOHOR, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata jumlah penduduk terjejas merekodkan seramai 55 orang berlindung di dua buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Kota Tinggi, Johor sehingga tengah hari ini.

Dua PPS berkenaan mula diaktifkan sejak semalam selepas banjir melanda beberapa kawasan.

Menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, 42 penduduk terjejas daripada 12 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Gembut di kawasan Sedili, yang mula dibuka petang semalam.
 
13 penduduk lagi berteduh di PPS Dewan Kampung Baru Sungai Mas, Penawar.

“Sementara itu, lima sungai berada pada paras waspada iaitu Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat dengan bacaan 19.31 meter; Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang pada paras 13.93 meter dan Sungai Ulu Sedili Besar di Batu 52 Sedili, Kota Tinggi dengan 8.39 meter.

“Dua lagi sungai adalah di daerah Mersing, iaitu Sungai Tenglu Kecil di Kampung Tenglu Kecil dengan bacaan 1.22 meter dan Sungai Paya Dato’ 1.35 meter. Tiga daerah dilaporkan mendung pada pagi ini iaitu Mersing, Batu Pahat dan Kota Tinggi manakala lain-lain daerah diramal cerah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir membabitkan jajahan Tanah Merah terus susut kepada 476 orang daripada 135 keluarga pagi ini berbanding 573 orang daripada 178 keluarga semalam.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan kesemua mangsa berlindung di tujuh PPS.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM