
JOHOR BAHRU, 3 November – Kerajaan negeri Johor bakal memperuntukkan kira-kira RM20 juta hingga RM30 juta bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) terutama bagi melaksanakan kerja penyelenggaraan di lokasi panas (hotspot) berlakunya banjir di negeri tersebut.
- 337 lokasi 'hotspot' dikenalpasti berisiko banjir.
- Keutamaan diberi kepada kerja penyelenggaraan yang boleh dilaksanakan segera.
- Projek jangka panjang seperti pembinaan tembok banjir memerlukan tempoh pelaksanaan lebih lama.
- JKR mengenal pasti beberapa laluan dijangka terjejas banjir, termasuk di Kota Tinggi dan Segamat.
EXCO Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, peruntukan tersebut bertujuan mengurangkan risiko serta kesan banjir sepanjang tempoh MTL yang dijangka bermula November ini hingga Januari tahun hadapan.
“Permohonan peruntukan yang diterima adalah antara RM20 juta hingga RM30 juta. Bagaimanapun, kita akan meneliti semula keutamaan bagi mengenal pasti projek yang boleh dilaksanakan dengan segera.
“Ini kerana terdapat projek yang memerlukan tempoh pelaksanaan lebih panjang, seperti pembinaan tembok banjir (floodwall) dan ban.
“Kerja-kerja yang boleh dilaksanakan dalam masa terdekat akan memberi tumpuan kepada aspek penyelenggaraan,” katanya selepas meninjau Projek Saliran Mesra Alam Taman Rinting, di sini.
Projek yang bernilai RM3.4 juta itu bakal memanfaatkan kira-kira 300 penduduk di sepanjang Sungai Rinting yang sebelum ini sering terjejas akibat banjir.
Tambah Mohamad Fazli, sebanyak 337 lokasi panas dikenalpasti berisiko banjir sepanjang tempoh tersebut.
Jabatan Kerja Raya (JKR) juga mengenal pasti beberapa laluan yang dijangka terjejas banjir termasuk di daerah Kota Tinggi dan Segamat.